HUKUM HUDUD PENGHAPUS DOSA

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Jenayah hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada pandangan Islam.  Secara umumnya, hukuman hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah.

Terdapat enam jenayah yang wajib dijatuhkan kepada para pelakunya dengan hukuman hudud menurut kata sepakat di kalangan semua cendekiawan Islam yang muktabar iaitu:

 

  1. as-Sirqah: Kesalahan Mencuri
  2. al-Hirabah: Kesalahan Merompak Secara Bersenjata / Mengugut Dengan Menggunakan Senjata
  3. az-Zina: Kesalahan Melakukan Persetubuhan Haram
  4. al-Qazaf: Kesalahan Menuduh Orang Lain Melakukan zina Tanpa Bukti Yang Kukuh
  5. asy-Syurb: Kesalahan Meminum Minuman Yang Memabukkan
  6. ar-Riddah: Kesalahan Kerana Melakukan Kesalahan Murtad

Jenis-jenis kesalahan hudud dan hukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda kerana ia bersifat mandatori.  Pendakwaan kes-kes hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya.  Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat.  Fungsi hukuman hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.

Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam pada asasnya merupakan sebahagian daripada ketaatan umat Islam kepada perintah Allah s.w.t. dan kerana itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal akidah dan keimanan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan Maha Adil. Ini kerana peraturan jenayah seperti mana yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan juga sunah Nabi adalah sebahagian daripada agama Islam itu sendiri.

Dari segi yang lain pula, Di antara hikmah (kelebihan) di sebalik perlaksanaan undang-undang Islam ialah sebagai “kaffarah” kepada pelakunya. “Kaffarah” ertinya “Penghapus/Pensuci/Pembersih”. Hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah yang terbukti bersalah, sebenarnya satu proses penyuciannya daripada dosa yang dilakukan.

Mengapakah undang-undang Allah Ta’ala dinamakan sebagai “kaffarah”? Kerana ia bukan sahaja sekadar hukuman penyiksaan, tetapi ia juga adalah penghapus dosa yang dilakukan oleh si pelakunya dan sekaligus bertindak menyelamatkannya daripada di azab oleh Allah Ta’ala kelak di dalam neraka kerana dosanya itu.

Dalil yang menunjukkan bahawa hukuman daripada Allah Ta’ala itu bertindak sebagai kaffarah ialah sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang tersebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina ‘Ubadah Bin as-Somit r.a berkenaan dengan isi-isi Bai’ah (perjanjian) al-‘Aqabah di antara Baginda s.a.w dengan Para Nuqaba’ (Ketua-Ketua Usrah) daripada kalangan para sahabat r.a. yang bermaksud: “Aku pernah berjanji setia dengan Baginda Rasulullah s.a.w di dalam satu kumpulan kecil, lalu Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memohon janji-setia kamu agar kamu semua tidak menyekutui Allah dengan apa sekalipun, janganlah juga kamu mencuri, jangalah juga kamu membunuh anak-anak kamu, jangan membawa sebarang berita palsu (fitnah) daripada hadapan tangan-tangan dan kaki-kaki kamu, janganlah juga kamu semua menentang aku di dalam urusan yang baik, dan sesiapa sahaja yang memenuhi janji-setia ini, maka ganjarannya adalah di sisi Allah, dan sesiapa pula yang melakukan dosa-dosa itu, lalu dia dihukum di dunia ini,  maka hukuman itu adalah kaffarah (penghapus) baginya dan juga pembersih. Dan sesiapa pula yang dilindungi rahsianya oleh Allah (tidak dihukum kerana melakukan kesalahan-kesalahan itu), maka hukumannya itu nanti diserahkan kepada Allah kelak (di hari akhirat), kalau Allah mengkehendaki, Allah boleh sahaja mengazab pesalah itu ataupun mengampunkannya” [Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , al-Imam Muslim rh , al-Imam at-Tirmidzie rh , al-Imam Ahmad rh dan al-Imam ad-Darimi rh].

Itulah kelebihan undang-undang Islam yang datangnya daripada Allah Ta’ala. Ini membezakan kedudukan hukuman Islam dengan hukuman biasa atau sivil di mana tidak seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah undang-undang syariah yang akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah undang-undang biasa tidak akan menikmati kedudukan yang sama. Ini kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan hukuman tiada kaitan dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di hari akhirat.

Lantaran menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi ada orang yang telah melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang menemui Nabi meminta dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan oleh Allah. Keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam sistem perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah akan sentiasa berusaha untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun memang sebenarnya dia telah melakukan jenayah berkenaan.

Undang-undang hudud diperuntukan bagi menggerunkan masyarakat yang bercadang untuk melakukan jenayah berat. Undang-undang ini mempunyai syarat-syarat yang amat banyak sebelum ia boleh dikenakan ke atas seseorang tertuduh. Kadangkala kelihatan mungkin agak mustahil untuk mensabitkan seseorang tertuduh melainkan dengan pengakuan bersalah yang dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti zina yang memerlukan empat orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu dilakukan. Manakala bagi kes-kes yang lain pula sebarang keraguan yang wujud atau berjaya ditimbulkan akan dengan mudah dapat menyebabkan hukuman hudud itu tidak kenakan. Bahkan seseorang hakim yang membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa bersikap terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak menghukum daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes hudud.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>