KETERANGAN DOKUMEN (DOCUMENTARY EVIDENCE)

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Seksyen 59 Akta Keterangan 1950 memberi penjelasan kepada kita bahawa jika keterangan berkenaan kandungan dokumen diperlukan, maka keterangan lisan tidak diterima kerana kandungan dokumen tersebut perlu dibuktikan dengan mengemukakan dokumen itu sendiri

Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 mentafsirkan keterangan dokumen merangkumi keterangan yang berbentuk tulisan, perkataan yang dicetak atau dilitograf atau difotograf, inskripsi pada kayu atau batu atau logam, lukisan, citra, gambar, karikatur, fotograf, negatif, pita komunikasi telefon termasuk yang dipancarkan dari satu jarak, rakaman fotografi dan hal yang dirakam atau disimpan atau diproses atau didapatkan semula atau dikeluarkan oleh komputer. 

Keterangan Dokumen Merupakan Keterangan Benda (Real Evidence)

Seksyen 60(3) Akta Keterangan 1950 (Akta 56) menyatakan: “Jika keterangan lisan itu mengenai kewujudan atau mengenai keadaan sesuatu benda termasuk dokumen, maka mahkamah bolehlah, jika difikirkan patut, mengkehendaki benda itu atau dokumen itu dikemukakan untuk pemeriksaannya.”

Keterangan benda adalah satu bentuk keterangan yang dibawa ke perhatian dan pengetahuan Mahkamah tentang suatu benda atau material untuk diperiksa oleh Mahkamah. Contohnya seperti barangan yang ditender sebagai eksibit seperti senjata mahupun dokumen.

Keterangan Dokumen Hendaklah Berbentuk Keterangan Primer (Primary Evidence)

Secara prinsipnya, keterangan dokumen memerlukan dokumen asal dikemukakan sebagai rujukan kepada pihak Mahkamah. Rujukan kepada dokumen asal ini digelar sebagai keterangan primer.

Seksyen 64 Akta Keterangan 1950 secara jelas memperuntukkan bahawa dokumen yang dikemukakan di Mahkamah perlu dibuktikan dengan keterangan primer. Dalam erti kata lain, keterangan primer adalah berasaskan kepada‘best evidence rule’ kerana keterangan tersebut disokong oleh dokumen asal. Ini menunjukkan bahawa keterangan primer bermaksud satu bentuk keterangan utama dalam membuktikan kesahihan dokumen apabila dokumen tersebut menjadi pertikaian di Mahkamah.

Dalam kes Mohamed Syedol Ariffin v Yeoh Ooi Gark sebagai contoh, Privy Council telah menerima keterangan berkaitan tarikh lahir defendan setelah defendan berjaya mengemukakan keterangan dokumen iaitu sebuah buku asal yang menyimpan rekod dan butiran diri ahli keluarganya kepunyaan bapa defendan.

Keadaan Tertentu Membenarkan Keterangan Sekunder (Secondary Evidence)

Seksyen 61 Akta Keterangan 1950 membenarkan keterangan sekunder dikemukakan dalam keadaan-keadaan tertentu. Seksyen 65 Akta yang sama memperuntukkan  bahawa keterangan sekunder boleh digunakan apabila tidak wujud keterangan primer dalam beberapa keadaan tertentu. Sebagai contoh dalam kes Forbes v Samuel  iaitu berkaitan dengan perjanjian rakan kongsi (partnership deed) yang mana kedua-dua pihak bertikai memegang salinan perjanjian tersebut, maka setiap salinan dokumen tersebut dianggap dokumen asal. Contoh lain adalah dalam kes Mst Bibi Aisha v Bihar Subai Sunni Majlis Avaqaf di mana Mahkamah memutuskan bahawa salinan kepada dokumen asal waqf adalah diterima jika syarat-syarat dalam seksyen 65 tersebut dipenuhi.

Seksyen 63 Akta yang sama telah menyenaraikan bentuk-bentuk keterangan sekunder seperti salinan yang diperakui, salinan daripada naskhah asal melalui mesin, salinan yang dibuat daripada atau dibandingkan dengan naskhah asal, kaunterpart dokumen terhadap pihak-pihak yang tidak menyempurnakannya dan keterangan lisan mengenai kandungan sesuatu dokumen yang telah diberikan oleh seseorang yang melihatnya atau mendengar tentangnya atau melalui anggapannya sendiri.

Kebanyakan Keterangan Sama Fakta (Similar Fact Evidence) Adalah Tidak Relevan

Keterangan sama fakta bermaksud satu bentuk keterangan yang membuktikan kewujudan suatu fakta isu melalui pembuktian fakta relevan yang tidak berkaitan antara satu sama lain. Sebagai contoh, kesalahan merosakkan harta benda awam yang dilakukan oleh seseorang yang pernah mempunyai rekod kesalahan yang serupa. Rekod kesalahan itu boleh dijadikan satu bentuk keterangan sama fakta bahawa orang tersebut telah melakukan kesalahan yang sama pada waktu yang berlainan. Namun, keterangan jenis ini tidak relevan secara prinsipnya kerana ia boleh menimbulkan prejudis dan bias kepada orang yang kena tuduh. Seksyen 11, 14, 15 dan 16 Akta Keterangan 1950 ada menjelaskan berkaitan dengan keterangan ini.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>