HIBAH

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Maksud

Dari segi bahasa, Hibah bermaksud pemberian (al-Atiyyah). Dari segi syarak, hibah bermaksud suatu akad yang mengandungi pemindahan hak milik harta seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya secara percuma dan tanpa balasan (‘iwad).

Hibah diberi atas dasar kasih sayang sesama manusia, dan dilaksanakan semasa hayat seseorang pemilik harta. Jumlah harta yang boleh dihibah adalah mengikut kehendak pemberi hibah, tiada had minimum atau had maksimum. Selagi anda masih hidup dan bernafas, anda bebas untuk memberikan Hibah  kepada sesiapapun mengikut formula yang anda kehendaki.

Asas Hibah

  • Seseorang itu boleh menghibahkan seberapa banyak harta miliknya kepada sesiapa sahaja yang boleh menerimanya semasa hayatnya.
  • Harta yang sudah dihibah akan terus menjadi milik penuh penerima hibah berkuat kuasa serta merta. Maka pemberi hibah sudah tidak mempunyai apa-apa hak lagi ke atas harta tersebut.
  • Sekiranya berlaku kematian kepada pemberi hibah, harta yang telah dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka pemberi hibah lagi.
  • Sekiranya penerima hibah pula meninggal dunia sebaik sahaja menerima hibah maka harta hibah yang diterimanya itu akan termasuk dalam harta pusakanya
  • Harta yang telah dihibah tidak boleh ditarik balik, melainkan hibah terhadap anak, cucu dan ke bawah.

 

Syarat Hibah

1) Pemberi hibah (al-Wahib) yang sempurna akal, baligh, mestilah tuan punya harta yang dihibahkan dan mempunyai kuasa penuh ke atas harta tersebut.

2) Harta yang dihibah (al-Mawhub) yang benar-benar wujud semasa dihibahkan, halal, mempunyai nilai di sisi syarak, dan menjadi milik penuh pemberi hibah. Harta yang tidak menjadi milik penuh iaitu masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan dengan syarat ada takaful MRTA dan mendapat keizinan daripada penggadai.

3) Penerima hibah (al-Mawhub lahu) yang baligh, berakal dan mempunyai keupayaan memiliki harta. Hibah terhadap orang yang belum akil baligh atau kurang upaya boleh dibuat melalui pemegang amanah bagi pihaknya, contohnya peguam.

4) Akad hibah (sighah) iaitu ijab dan kabul.

 

Perlaksanaan serta merta

Perlaksanaan hibah adalah serta merta. Sebagai contoh, jika kita membuat surat hibah menyatakan pemberian rumah kita kepada anak perempuan dan anak lelaki tidak dinyatakan apa-apa pemberian maka secara dasarnya surat hibah itu sah kerana pemberian itu sah dan ia berkuatkuasa serta merta. Hanya proses tukar nama rumah sahaja yang belum dilaksanakan. Dengan itu anak perempuan sudah sah memiliki rumah tersebut dan boleh membuat apa sahaja ke atas rumah tersebut. Dan sekiranya berlaku kematian kepada anak perempuan itu sebaik selepas surat hibah itu sah maka rumah itu termasuk dalam kiraan harta pusaka anak perempuan itu walaupun rumah itu masih atas nama kita akibat tidak sempat proses tukar nama. Contoh lain, jika seorang suami membuat surat hibah kepada isterinya menyatakan beliau menghibahkan wang KWSP nya kepada isterinya maka perlulah diingat bahawa sekiranya si suami sudah pencen dan boleh mengeluarkan wang KWSP tersebut, si suami tidak boleh mengambil wang KWSP itu kerana ia sudah menjadi hak isteri kerana telah ada surat hibah. Dan sekiranya si isteri pula meniggal dunia sebaik sahaja surat hibah itu ditandatangani sedangkan si suami masih hidup maka sudah tentulah wang KWSP suami itu akan termasuk dalam harta pusaka si isteri.

 

Pri-Hibah

Oleh kerana perlaksaan hibah adalah serta merta, ramai masyarakat bimbang kalau-kalau anak-anak mereka menjual hartanah ini dalam keadaan mereka masih bernyawa kerana ia telahpun menjadi milik sah anak-anak mereka tersebut. Lagi dibimbangi sekiranya ibubapa yang telah memindahmilik rumah mereka kepada anak-anak, dihalau dari rumah selepas itu oleh anak-anak yang sama.

Jika mereka ingin memberikan hartanah tersebut kepada anak mereka dengan menggunakan instrument wasiat pula, tiada jaminan pemberian itu akan terlaksana kerana waris-waris yang lain berhak untuk tidak memberikan persetujuan bagi melaksanakan wasiat yang sama selepas kematian mereka.

Di sinilah undang-undang telah memperkenalkan suatu modul yang dikenali sebagai pri-hibah yang menggunakan konsep amanah di dalamnya.

Melalui pri-hibah, walaupun dokumen Hibah disediakan hari ini, namun pertukaran hak milik secara sah dibuat selepas berlaku perkara-perkara atau syarat-syarat yang telah ditetapkan (triggering events) dalam Deklarasi Hibah, contohnya seperti selepas kematian pemberi hibah. Perlaksanaan menggunakan modul seperti ini menjamin bahawa pemberi hibah masih mempunyai kuasa dan boleh mendapat manfaat daripada hartanah yang dihibah selagi dia masih hidup.

Pada zaman ini, terdapat juga masyarakat yang membuat hibah bersyarat, iaitu pemberian hibah diberikan kepada penerima hibah sekiranya pemberi hibah meninggal dunia sebelum penerima hibah. Sekiranya penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka harta hibah akan dikembalikan kepada pemberi hibah.

 

Kelebihan Hibah

 

  1. Formula pembahagian yang berkuatkuasa

Berbeza dengan wasiat yang formula pembahagiannya mesti dipersetujui oleh waris sebelum boleh dilaksanakan, formula pembahagian Hibah berkuatkuasa sepenuhnya mengikut hasrat pemberi hibah di dalam dokumen Hibah tersebut. Oleh itu, jika anda berhasrat agar harta pusaka anda dibahagikan mengikut formula yang anda kehendaki, buatlah Hibah dan bukannya Wasiat.

  1. Hibah kepada anak dan cucu boleh ditarikbalik

Jumhur menyatakan bahawa haram bagi seseorang untuk menarik balik hibah apabila hibah telah diterima oleh penerima hibah, sekalipun antara suami dan isteri. Walaubagaimanapun, ibu bapa dan ke atas mempunyai hak untuk menarik balik atau mengubah formula pemberian ini  pada bila-bila masa apa yang telah diberikan kepada anak cucu ke bawah.

Dalil: Daripada Ibn Abbas dan Ibn Umar r.a, sabda Rasulullah s.a.w: “Tidak dibenarkan bagi seseorang yang telah memberikan sesuatu pemberian kemudian menarik kembali pemberian tersebut melainkan ibu bapa yang memberikan kepada anaknya. Misal bagi orang yang menarik kembali pemberiannya adalah seperti seekor anjing yang makan sesuatu, dan kemudian apabila ia lapar, ia memuntahkan kembali makanan tersebut lalu memakannnya semula.” H.R Abu Dawud dan Al-Nasa’iy dan Ibn Majah.

  1. Kadar yang tiada had

Satu kelebihan hibah berbanding wasiat, seorang boleh menghibahkan hartanya kepada waris atau seseorang lain semasa dia masih hidup dan jumlahnya tidak terhad. Berbanding wasiat, kadar yang boleh diwasiatkan terhad 1/3 daripada keseluruhan harta dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang berhak menerima pusaka kecuali dengan persetujuan waris lain.

  1. Aset yang dihibah tidak dikira sebagai harta pusaka

Berkuatkuasa serta merta mengikut terma dan syarat di dalam Deklarasi Hibah. Aset yang dihibahkan tidak dianggap sebagai harta penghibah. Harta yang telah dihibah akan terkeluar dari harta pusaka. Aset tidak tertakluk kepada hukum Faraid akan tetapi mengikut terma di dalam Deklarasi Hibah. Hak benefisiari selamat dan terjamin. Harta yang telah dihibah tidak boleh dituntut oleh waris yang lain.

  1. Kos yang murah

Sekiranya pindahmilik dibuat dari nama pemberi hibah kepada penerima hibah, duti setem perlu dibayar. Secara umumnya, duti setem ini ialah 1 % untuk nilai hartanah RM 100,000.00 yang pertama, 2 % untuk nilai hartanah RM 400,000.00 yang kedua dan 3 % untuk nilai hartanah yang seterusnya. Seorang ayah atau ibu boleh memilih untuk memindahmilik hartanah mereka kepada anak-anak hari ini, tetapi mereka perlulah membayar kos ini. Oleh kerana hibah tidak memerlukan pindahmilik berlaku, duti setem tidak perlu dibayar dan ini menyebabkan prosedur menyediakan Hibah jauh lebih efektif dari segi kos.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>