Betapa Perlunya Peguambela

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Pada hari ini saya ingin memetik sebuah kisah yang dipetik daripada kitab yang bertajuk “Al-Turuq al-Hukmiyyah” yang dikarang oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah, muka surat 83-84. Kisah tersebut menceritakan bahawa pada zaman Sayyidina Ali karramallahuwajhah, ada seorang lelaki yang bekerja sebagai penjual daging. Adalah menjadi kebiasaan bagi seorang penjual daging berlumuran darah di pakaiannya. Adalah juga menjadi kebiasaan bagi seorang penjual daging memegang pisau yang ada darah yang masih segar. Lelaki ini bukan sahaja menjual daging, tapi dia juga merupakan penyembelih lembu yang akan dijualnya itu. Maka lagi banyaklah darah di badannya.

Pada suatu hari, ketika lelaki ini sedang menyembelih lembu, dia merasakan mahu membuang hajat, lalu dia pun pergi jauh sedikit untuk menunaikan hajat. Pada zaman tersebut tidak ada tandas awam, jadi sekiranya ingin membuang hajat perlu cari tempat yang bersemak dan jauh dari pandangan orang.

Sebaik sahaja tiba di tempat yang beliau ingin membuang hajat, dia ternampak mayat seorang lelaki yang kelihatan telah ditikam dan dipenuhi dengan darah. Dia menjadi sangat terkejut, kaget lalu terpaku berdiri di situ dan tercengang dengan pisau berdarah masih lagi di tangannya.

Dalam masa yang sama, tiba-tiba beberapa orang awam datang dan melihat penyembelih lembu tersebut dalam keadaan yang mencurigakan (berdiri di hadapan mayat dengan pisau ditangan berlumuran darah). Lalu mereka terus beramai-ramai menangkap penyembelih lembu tersebut dan menuduh beliau membunuh lelaki itu. Penyembelih lembu tersebut telah dibawa ke hadapan Sayyidina Ali, lalu Sayyidina Ali menyoal penyembelih lembu tersebut adakah beliau yang membunuh lelaki itu.

Pada masa itu penyembelih lembu tersebut kebingungan. Kalau dia mengatakan bahawa dia tidak membunuh lelaki itu pasti dia tidak akan dipercayai. Sebabnya dia berada di tempat kejadian dan di tangannya ada pisau yang dipenuhi dengan darah. Dia juga tidak dapat membawa sesiapa pun untuk menyokongnya. Jadi akhirnya dia memutuskan untuk mengatakan dia membunuh lelaki itu, walaupun dia tidak berbuat demikian, dan dia memutuskan untuk meninggalkan perkara itu kepada Allah swt.

Saiyyidina Ali lalu menjatuhkan hukuman mati terhadap lelaki itu. Dan satu tarikh telah ditetapkan bagi hukuman tersebut dilaksanakan. Pada tarikh pelaksanaan hukuman, tiba-tiba datang seorang lelaki lain menghadap Saiyyidina Ali dan berkata: “Jangan membunuhnya. Sebenarnya saya yang membunuh orang tersebut”. Sayyidina Ali kemudiannya bertanya kepada lelaki yang datang menghadapnya tentang pembunuhan tersebut, dan dia berkata dia telah membunuh seorang lelaki kerana tamak akan wang. Apabila dia mendengar orang datang, dia melarikan diri dan menyembunyikan dirinya. Dia melihat apa yang berlaku apabila orang ramai datang dan penyembelih lembu telah ditangkap dan penyembelih lembu tersebut mengakui bahawa dia telah membunuh lelaki ini.

Daripada kisah ini kita tahu bahawa cerita-cerita berkenaan dengan undang-undang telah wujud sejak dahulu kala lagi. Cuba kita bayangkan sekiranya kita berada di tempat penjual daging tersebut, adakah kita sanggup untuk mengaku bersalah sepertinya? Tidak ada orang yang membela kita, dan kita pun tidak ada saksi untuk menyokong kita. Dalam kisah tersebut penyembelih lembu tersebut bernasib baik kerana pembunuh yang sebenarnya telah datang mengaku salah, namun pada zaman sekarang masih adakah lagi orang seperti pembunuh tersebut yang secara sukarela datang menyerah diri mengaku bersalah?

Sebenarnya kes-kes teraniaya sebegini masih banyak berlaku sekarang. Cuma kelebihan yang kita miliki pada masa sekarang berbanding kisah yang saya cerita tadi adalah kerana kita sekarang memiliki satu pekerjaan yang dinamakan peguambela & peguamcara.

Akhir kata, sedikit kesimpulan yang yang boleh kita ambil dari kisah ini:-

  1. Orang yang mengaku bersalah, belum tentu bersalah. Boleh jadi mereka mengaku atas sebab tertentu yang hanya mereka yang tahu.
  2. Seseorang itu tidak bersalah selagi ia tidak dibuktikan bersalah. Harus ada mahkamah yang menentukan samada mereka bersalah atau tidak berdasar pada bukti-bukti yang sahih.
  3. Dengan adanya “peguam” yang membela orang yang dituduh, ia boleh menyelamatkan dari terjadinya hukuman terhadap orang yang tidak bersalah.
  4. Apa yang sebenar-benar berlaku adalah hanya diketahui oleh Allah, orang yang dituduh, dan mangsa sahaja. Peguam, Hakim, orang awam, langsung tidak mempunyai pengetahuan yang hakiki.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>