Membetulkan Persepsi Keluarga Mangsa Kemalangan Maut dalam Menafsirkan Jumlah Pampasan

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Umum mengetahui bahawa dalam kes kemalangan jalanraya, mangsa kemalangan (plaintif) boleh membuat tuntutan sivil di mahkamah terhadap pihak yang menyebabkan kemalangan tersebut (defendan) untuk mendapatkan pampasan, di mana bayaran pampasan tersebut akan dibayar oleh syarikat insurans/takaful yang melindungi kenderaan defendan.

Menurut persepsi kebanyakan masyarakat, jika kemalangan tersebut merupakan kemalangan maut, nilai pampasan yang diperolehi adalah lebih tinggi kerana kemalangan maut menurut akal fikiran yang logik adalah lebih teruk daripada kemalangan cedera parah, maka sepatutnya pampasan kemalangan maut adalah lebih tinggi daripada kemalangan cedera parah.

Lebih separuh daripada waris simati yang ditemui, berpendapat pampasan kemalangan maut semestinya melibatkan jumlah amaun yang tinggi kerana pampasan untuk kecederaan badan sahaja sudah melibatkan nilai pampasan sehingga mencapai angka RM ratusan ribu ringgit, apatah lagi jika melibatkan kehilangan nyawa sudah tentu pampasan melebihi RM ratusan ribu berbandingkan hanya kecederaan badan sahaja.

Namun mengikut persepsi undang-undang, perkara sebaliknya mungkin berlaku, di mana pampasan bagi sesetengah kemalangan maut mungkin lebih rendah daripada sesetengah kemalangan yang menyebabkan cedera parah. Tambah-tambah lagi jika mangsa yang meninggal dunia tidak mempunyai pekerjaan dan/atau tidak mempunyai tanggungan, maka jumlah pampasan adalah rendah berbanding apa yang disangka.

Tuntutan pampasan maut akibat kemalangan jalan raya boleh dirujuk melalui Seksyen 7 Akta Undang-undang Sivil 1956 (pindaan) 1987. Akta ini memperuntukkan bahawa waris simati berhak mendapat pampasan seperti berikut:-

 

  1. Kedukacitaan berjumlah RM10,000.00 sekiranya:-

(a)          simati pada masa kematiannya berumur bawah 18 tahun (budak) dan tidak berkahwin, ibu bapa yang sah berhak membawa tuntutan ini; saudara mara, datuk, nenek tidak berhak kepada tuntutan ini;

(b)          simati pada masa kematiannya berumur melebihi 18 tahun dan telah berkahwin, suami isteri yang sah sahaja berhak membawa tuntutan ini, saudara mara, datuk, nenek tidak berhak kepada tuntutan ini;

(c)           simati berusia 18 tahun ke atas dan tidak berkahwin, ibu bapa yang tidak berhak kepada tuntutan kedukacitaan, tetapi berhak membawa tuntutan untuk kehilangan sumbangan dan gantirugi khas.

 

  1. Kehilangan sumbangan pendapatan simati tertakluk:-

(a)          simati mestilah pada masa kematiannya mempunyai pendapatan dan telah memberi sumbangan pendapatan itu kepada warisnya, waris itu merujuk kepada 1 (a) dan (b) di atas;

(b)          pendapatan simati itu mesti ditolak dengan jumlah perbelanjaan sara hidupnya sendiri;

(c)           Jika simati pada masa kematiannya berumur bawah 30 tahun, jumlah pendarapan sumbangan itu adalah selama 16 tahun x 12 bulan;

(d)          Jika simati pada masa kematiannya berumur atas 30 tahun jumlah pendarapan ini adalah 55 tahun – usia kematian simati bahagi (/) 2 x 12 tahun.

 

  1. Gantirugi Khas untuk perbelanjaan pengurusan jenazah, pengebumian dan majlis kenduri tertakluk kepada resit perbelanjaan dan bukti yang kukuh.

 

Contoh 1: Simati adalah seorang pelajar tingkatan 3 yang masih bujang, maka ibu bapanya layak membuat tuntutan gantirugi kedukacitaan berjumlah RM10,000.00.

 

Contoh 2: Simati merupakan seorang pelajar tingkatan 6 (18 tahun) dan masih bujang dan tidak bekerja, maka ibu bapanya hanya layak membuat tuntutan pampasan bagi pengurusan jenazah & pengebumian, yang mana biasanya adalah sekitar RM2000.00.

 

Contoh 3: Simati berusia 32 tahun, janda dan mempunyai 2 orang anak. Simati tinggal bersama-sama ibu bapanya. Oleh itu, dalam kes ini, waris yang berhak membawa tuntutan ini adalah anak-anak dan ibu bapa simati. Simati pada masa kematiannya bekerja dengan gaji sebanyak RM650 sebulan. Perbelanjaan sara hidup simati adalah RM200 sebulan. Oleh itu, nilai sumbangan simati adalah sebanyak RM450 sebulan setelah ditolak kos sara hidup simati itu. Disebabkan simati telah melepasi usia 30-an, maka cara kiraan tuntutan pampasan adalah seperti berikut: 55 tahun – 32 tahun / 2 = 11.5 tahun x 12 bulan = 138 bulan x RM450 = RM62,100.00.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>