Dilema Peguambela Kes Jenayah

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Seringkali dalam masyarakat kita, kerjaya sebagai seorang peguam dipandang serong kerana dikatakan sebagai golongan yang membela orang yang bersalah. Perlu dijelaskan di sini bahawa seseorang yang ditangkap tidak semestinya didakwa di mahkamah, dan seseorang yang didakwa di mahkamah tidak semestinya bersalah.

Saya mengemukakan satu contoh. Mamat telah ditangkap kerana disyaki terlibat dengan satu kejadian bunuh seorang wanita dengan kejam. Turut ditangkap adalah Abu dan Saud. Setelah ditangkap, seluruh kampung heboh mengatakan mereka bertiga adalah pembunuh. Padahal mereka baru ‘disyaki’ dan ditangkap untuk direman bagi pihak polis menjalankan siasatan ke atas mereka. Setelah 7 hari direman, Mamat dilepaskan kerana didapati tidak terlibat sementara Abu dan Saud dituduh di mahkamah. Pada masa ini, saya kira sewajarnya orang kampung patut pergi memohon maaf kepada Mamat kerana telah ‘memfitnah’ Mamat sedangkan Mamat sekadar disyaki dan ditangkap untuk disiasat sahaja.

Kembali kepada cerita Abu dan Saud. Mereka berdua dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh membunuh. Biasalah di mahkamah adalah tempat wartawan cari makan. Maka seluruh masyarakat ‘menghukum’ Abu dan Saud sebagai pembunuh selepas melihat muka mereka di muka hadapan akhbar. Walaupun mahkamah belum memulakan perbicaraan, tetapi hukuman telah dijatuhkan oleh masyarakat. Kemudian disiarkan pula wajah peguambela Abu dan Saud. Maka peguam ini juga dituduh sebagai seorang yang tak berhati perut kerana membela pembunuh.

Hebat sungguh masyarakat itu. Mereka terlebih ‘bijak’ dari hakim apabila memandai-mandai menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah sendiri menjatuhkan hukuman. Persoalan sekarang, atas justifikasi apa masyarakat menjatuhkan hukuman ke atas Abu dan Saud?

Dalam situasi ini, peguam tersebut sebenarnya bertindak di atas prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Peguam tersebut bersangka baik terhadap Abu dan Saud kerana bersangka buruk adalah berdosa. Maka oleh kerana keputusan kes masih belum dibuat, tiada apa yang dapat menghalang peguam itu dari membantu membuktikan yang Abu dan Saud tidak bersalah sepanjang perbicaraan.

Andai kata ada seorang saksi pendakwaan semasa perbicaraan berjalan bernama Dol, yang melihat Abu dan Saud membunuh, maka adakah peguam itu harus tunduk saja kepada kenyataan Dol? Sudah tentu tidak. Oleh kerana tidak diketahui siapakah sebenarnya yang membunuh wanita itu, maka sudah tentu peguam itu akan menentang kenyataan-kenyataan Dol. Bagi peguam itu, boleh jadi Dol tersilap, dan boleh jadi juga Dol ada kepentingan dalam kes ini.

Maka, peguam itu tetap membela Abu dan Saud bagi membuktikan mereka tidak bersalah. Kita tidak tahu samada Abu dan Saud benar-benar bersalah atau tidak kerana prinsip yang diguna adalah seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah. Dengan prinsip itu, peguam itu akan berusaha membela Abu dan Saud bermati-matian kerana tiada yang mengetahui perkara sebenar kecuali Abu, Saud dan Allah. Jadi selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman ke atas Abu dan Saud, selagi itu peguam itu mesti membela Abu dan Saud demi mengelakkan seorang yang tidak bersalah dianiyai.

Setelah tamat perbicaraan, tibalah masanya mahkamah memberikan keputusan ke atas kes Abu dan Saud. Apa kata sekiranya mahkamah setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan hujahan kedua-dua pihak (pendakwaan dan peguam), mahkamah kemudiannya mendapati bahawa pembunuh adalah Saud manakala Abu didapati tidak bersalah. Oleh itu Abu dilepaskan dan dibebaskan. Pada masa ini, betapa seluruh masyarakat yang ‘memfitnah’ Abu wajib memohon maaf daripadanya dan memohon ampun daripada Allah swt kerana telah memandai-mandai menghukum sesama manusia tanpa usul periksa.

Wallahu a’lam..

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>