Daging Korban Menjadi Upah Penyembelih

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Para fuqaha bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan korban itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid: “Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging korban” (1/703, Beirut: Dar al-Khair).

Di samping itu, syarak juga menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim.

Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya: “Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim).

Al-Imam as-Son `ani dalam Subulus as-Salam menjelaskan: “Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah)

Al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging korban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`, katanya: “Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih ..”(8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar: “Tidak boleh dijadikan bahagian dari korban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban sunat. (m.s 149. Beirut: Dar So`ab)

Kata al-Syeikh Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam: “Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan korban memberi walaupun sedikit bahagian korban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah. (m.s. 143. Ctk.: Jordan: Maktabah al-Manar)

Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim, ditambah dengan ucapan Saidina Ali yang menyebut: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian korban.

Sekiranya diteruskan amalan mengambil mana-mana bahagian dari binatang korban yang disembelih sebagai upah bererti kita telah merosak pahala korban.

Kata Mustafa al-Khin dan Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh korban di dalam mazhab al-Syafi`i: “Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan korban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikorbankan dan merosakkannya”. (juz 1 m.s.235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Ini seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.

Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian korban). (5/221. Beirut: Dar al-Jil)

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>