Category Archives: Probet

HIBAH

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Maksud

Dari segi bahasa, Hibah bermaksud pemberian (al-Atiyyah). Dari segi syarak, hibah bermaksud suatu akad yang mengandungi pemindahan hak milik harta seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya secara percuma dan tanpa balasan (‘iwad).

Hibah diberi atas dasar kasih sayang sesama manusia, dan dilaksanakan semasa hayat seseorang pemilik harta. Jumlah harta yang boleh dihibah adalah mengikut kehendak pemberi hibah, tiada had minimum atau had maksimum. Selagi anda masih hidup dan bernafas, anda bebas untuk memberikan Hibah  kepada sesiapapun mengikut formula yang anda kehendaki.

Asas Hibah

  • Seseorang itu boleh menghibahkan seberapa banyak harta miliknya kepada sesiapa sahaja yang boleh menerimanya semasa hayatnya.
  • Harta yang sudah dihibah akan terus menjadi milik penuh penerima hibah berkuat kuasa serta merta. Maka pemberi hibah sudah tidak mempunyai apa-apa hak lagi ke atas harta tersebut.
  • Sekiranya berlaku kematian kepada pemberi hibah, harta yang telah dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka pemberi hibah lagi.
  • Sekiranya penerima hibah pula meninggal dunia sebaik sahaja menerima hibah maka harta hibah yang diterimanya itu akan termasuk dalam harta pusakanya
  • Harta yang telah dihibah tidak boleh ditarik balik, melainkan hibah terhadap anak, cucu dan ke bawah.

 

Syarat Hibah

1) Pemberi hibah (al-Wahib) yang sempurna akal, baligh, mestilah tuan punya harta yang dihibahkan dan mempunyai kuasa penuh ke atas harta tersebut.

2) Harta yang dihibah (al-Mawhub) yang benar-benar wujud semasa dihibahkan, halal, mempunyai nilai di sisi syarak, dan menjadi milik penuh pemberi hibah. Harta yang tidak menjadi milik penuh iaitu masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan dengan syarat ada takaful MRTA dan mendapat keizinan daripada penggadai.

3) Penerima hibah (al-Mawhub lahu) yang baligh, berakal dan mempunyai keupayaan memiliki harta. Hibah terhadap orang yang belum akil baligh atau kurang upaya boleh dibuat melalui pemegang amanah bagi pihaknya, contohnya peguam.

4) Akad hibah (sighah) iaitu ijab dan kabul.

 

Perlaksanaan serta merta

Perlaksanaan hibah adalah serta merta. Sebagai contoh, jika kita membuat surat hibah menyatakan pemberian rumah kita kepada anak perempuan dan anak lelaki tidak dinyatakan apa-apa pemberian maka secara dasarnya surat hibah itu sah kerana pemberian itu sah dan ia berkuatkuasa serta merta. Hanya proses tukar nama rumah sahaja yang belum dilaksanakan. Dengan itu anak perempuan sudah sah memiliki rumah tersebut dan boleh membuat apa sahaja ke atas rumah tersebut. Dan sekiranya berlaku kematian kepada anak perempuan itu sebaik selepas surat hibah itu sah maka rumah itu termasuk dalam kiraan harta pusaka anak perempuan itu walaupun rumah itu masih atas nama kita akibat tidak sempat proses tukar nama. Contoh lain, jika seorang suami membuat surat hibah kepada isterinya menyatakan beliau menghibahkan wang KWSP nya kepada isterinya maka perlulah diingat bahawa sekiranya si suami sudah pencen dan boleh mengeluarkan wang KWSP tersebut, si suami tidak boleh mengambil wang KWSP itu kerana ia sudah menjadi hak isteri kerana telah ada surat hibah. Dan sekiranya si isteri pula meniggal dunia sebaik sahaja surat hibah itu ditandatangani sedangkan si suami masih hidup maka sudah tentulah wang KWSP suami itu akan termasuk dalam harta pusaka si isteri.

 

Pri-Hibah

Oleh kerana perlaksaan hibah adalah serta merta, ramai masyarakat bimbang kalau-kalau anak-anak mereka menjual hartanah ini dalam keadaan mereka masih bernyawa kerana ia telahpun menjadi milik sah anak-anak mereka tersebut. Lagi dibimbangi sekiranya ibubapa yang telah memindahmilik rumah mereka kepada anak-anak, dihalau dari rumah selepas itu oleh anak-anak yang sama.

Jika mereka ingin memberikan hartanah tersebut kepada anak mereka dengan menggunakan instrument wasiat pula, tiada jaminan pemberian itu akan terlaksana kerana waris-waris yang lain berhak untuk tidak memberikan persetujuan bagi melaksanakan wasiat yang sama selepas kematian mereka.

Di sinilah undang-undang telah memperkenalkan suatu modul yang dikenali sebagai pri-hibah yang menggunakan konsep amanah di dalamnya.

Melalui pri-hibah, walaupun dokumen Hibah disediakan hari ini, namun pertukaran hak milik secara sah dibuat selepas berlaku perkara-perkara atau syarat-syarat yang telah ditetapkan (triggering events) dalam Deklarasi Hibah, contohnya seperti selepas kematian pemberi hibah. Perlaksanaan menggunakan modul seperti ini menjamin bahawa pemberi hibah masih mempunyai kuasa dan boleh mendapat manfaat daripada hartanah yang dihibah selagi dia masih hidup.

Pada zaman ini, terdapat juga masyarakat yang membuat hibah bersyarat, iaitu pemberian hibah diberikan kepada penerima hibah sekiranya pemberi hibah meninggal dunia sebelum penerima hibah. Sekiranya penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka harta hibah akan dikembalikan kepada pemberi hibah.

 

Kelebihan Hibah

 

  1. Formula pembahagian yang berkuatkuasa

Berbeza dengan wasiat yang formula pembahagiannya mesti dipersetujui oleh waris sebelum boleh dilaksanakan, formula pembahagian Hibah berkuatkuasa sepenuhnya mengikut hasrat pemberi hibah di dalam dokumen Hibah tersebut. Oleh itu, jika anda berhasrat agar harta pusaka anda dibahagikan mengikut formula yang anda kehendaki, buatlah Hibah dan bukannya Wasiat.

  1. Hibah kepada anak dan cucu boleh ditarikbalik

Jumhur menyatakan bahawa haram bagi seseorang untuk menarik balik hibah apabila hibah telah diterima oleh penerima hibah, sekalipun antara suami dan isteri. Walaubagaimanapun, ibu bapa dan ke atas mempunyai hak untuk menarik balik atau mengubah formula pemberian ini  pada bila-bila masa apa yang telah diberikan kepada anak cucu ke bawah.

Dalil: Daripada Ibn Abbas dan Ibn Umar r.a, sabda Rasulullah s.a.w: “Tidak dibenarkan bagi seseorang yang telah memberikan sesuatu pemberian kemudian menarik kembali pemberian tersebut melainkan ibu bapa yang memberikan kepada anaknya. Misal bagi orang yang menarik kembali pemberiannya adalah seperti seekor anjing yang makan sesuatu, dan kemudian apabila ia lapar, ia memuntahkan kembali makanan tersebut lalu memakannnya semula.” H.R Abu Dawud dan Al-Nasa’iy dan Ibn Majah.

  1. Kadar yang tiada had

Satu kelebihan hibah berbanding wasiat, seorang boleh menghibahkan hartanya kepada waris atau seseorang lain semasa dia masih hidup dan jumlahnya tidak terhad. Berbanding wasiat, kadar yang boleh diwasiatkan terhad 1/3 daripada keseluruhan harta dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang berhak menerima pusaka kecuali dengan persetujuan waris lain.

  1. Aset yang dihibah tidak dikira sebagai harta pusaka

Berkuatkuasa serta merta mengikut terma dan syarat di dalam Deklarasi Hibah. Aset yang dihibahkan tidak dianggap sebagai harta penghibah. Harta yang telah dihibah akan terkeluar dari harta pusaka. Aset tidak tertakluk kepada hukum Faraid akan tetapi mengikut terma di dalam Deklarasi Hibah. Hak benefisiari selamat dan terjamin. Harta yang telah dihibah tidak boleh dituntut oleh waris yang lain.

  1. Kos yang murah

Sekiranya pindahmilik dibuat dari nama pemberi hibah kepada penerima hibah, duti setem perlu dibayar. Secara umumnya, duti setem ini ialah 1 % untuk nilai hartanah RM 100,000.00 yang pertama, 2 % untuk nilai hartanah RM 400,000.00 yang kedua dan 3 % untuk nilai hartanah yang seterusnya. Seorang ayah atau ibu boleh memilih untuk memindahmilik hartanah mereka kepada anak-anak hari ini, tetapi mereka perlulah membayar kos ini. Oleh kerana hibah tidak memerlukan pindahmilik berlaku, duti setem tidak perlu dibayar dan ini menyebabkan prosedur menyediakan Hibah jauh lebih efektif dari segi kos.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

 

WASIAT

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Wasiat adalah pesanan yang dibuat semasa hidup manakala pemberiannya akan dilaksanakan selepas kematian pemilik harta tersebut. Nilai had maksimum harta yang boleh diwasiatkan ialah 1/3 daripada keseluruhan harta dan harta itu diwasiatkan untuk bukan waris sahaja.

Manakala baki 2/3 daripada harta itu pula bolehlah diwasiatkan kepada para waris, sama ada mengikut nilaian faraid ataupun nilaian hasrat kita. Kebanyakkan orang ingin membuat wasiat kepada ahli warisnya dan nilai harta yang diwasiatkan pula adalah mengikut kehendaknya. Namun wasiat berkenaan pembahagian harta tersebut tidaklah semestinya diikuti oleh waris-warisnya selepas kematiannya kerana para waris masih boleh berbincang semula sama ada ingin mengikut nilaian lain yang dipersetujui bersama atau mengikut nilaian faraid.

Berdasarkan penerangan di atas, kita maklum bahawa wasiat berkenaan harta bagi orang Islam hanyalah betul-betul berkesan jika harta tersebut hendak dibahagikan kepada bukan waris, iaitu sebanyak 1/3. Bagi orang Islam, wasiat bukanlah dokumen yang paling berkesan untuk membahagikan harta kepada waris. Ini kerana, jika anda menyediakan wasiat dan di dalamnya anda nyatakan mengenai hasrat anda untuk membahagikan harta mengikut formula tertentu, pembahagian itu tidak berkuatkuasa secara otomatik kerana ia memerlukan persetujuan semua waris untuk dilaksanakan.

Walaubagaimanapun, sekiranya kita ingin membahagikan harta mereka mengikut formula tertentu kepada orang-orang yang kita kehendaki baik waris mahupun bukan waris, dokumen yang paling berkesan sebenarnya ialah HIBAH. Saya akan menerangkan lebih lanjut berkenaan dengan HIBAH pada entry yang akan datang, insyaAllah..

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Mengapa Perlu Wasiat?

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Dalam hidup anda, ada atau tidak seseorang yang anda sayangi, atau yang telah banyak berjasa kepada anda, tetapi dia bukan waris anda yang layak menerima harta pusaka anda? Contohnya anak angkat. Bagi sesetengah orang, anak angkat lebih disayangi berbanding anak sendiri kerana jasa, pandai menjaga hati, mengambil berat akan ibu-bapa, patuh kepada nasihat dan macam-macam lagi. Bagi yang mereka tidak mempunyai anak kandung, sudah tentulah sayang kepada anak angkat tidak ternilai. Sekiranya anda benar-benar sayang kepada anak angkat / mana-mana orang tersebut, maka sewajarnyalah anda memikirkan masa depan mereka sekiranya anda sudah tiada lagi di dunia ini. Kenapa saya katakan sedemikian? Kerana apabila ibu atau bapa meninggal dunia, pada prinsipnya anak angkat tidak akan mendapat satu sen pun harta ibu-bapa angkat mereka. Ini kerana dalam Islam, anak angkat bukan waris. Harta-harta akan akan menjadi hak waris-waris, terutama yang rapat iaitu anak kandung, isteri atau suami dan ibu-bapa si arwah itu.

Jadi walaupun anak angkat telah berjasa sebesar gunung dengan ibu-bapa angkat, tidak mendapat satu sen harta ibu-bapa mereka. Sebaliknya, waris-waris yang mempunyai pertalian darah seperti anak kandung dan ibu-bapa arwah akan mendapat rahmat daripada peninggalan arwah itu. Lebih malang, jika waris terdekat tidak ada, maka adik-beradik arwah akan mendapat harta si arwah. Sungguh malang nasib si anak angkat ini.
Sekiranya ada belas ehsan daripada waris-waris untuk memberi secebis harta kepada anak angkat ini, tidak mengapalah. Namun sudah menjadi lumrah makhluk bergelar manusia akan mudah lupa daratan, lupa ibu, lupa adik angkat. Biasanya anak angkat akan berputih mata walaupun dia yang menjaga makan minum dan sakit pening ibu-bapa angkat semasa mereka hidup.

 

Oleh hal yang demikian, sekiranya anda benar-benar sayang kepada anak angkat tersebut, bertindaklah segera dengan melakukan samada 2 cara seperti di bawah:-

  • anda membahagikan sebahagian harta anda kepada anak angkat tersebut; atau
  • anda meninggalkan wasiat bahagian harta yang hendak dibahagikan kepada anak angkat tersebut.

 

Wasiat sangat berkesan kepada bukan waris dan dalam kontek cerita ini adalah anak angkat. Wasiat mengikut pembahagian harta si-mati harus diselesaikan sebelum membahagi harta si mati kepada waris-waris yang berhak, samada secara faraid atau muafakat. Ini bermakna sekiranya si-mati ada meninggalkan wasiat supaya membahagikan harta kepada anak angkat, maka wajiblah waris simati menunaikannya.

 

Namun begitu, Islam itu sempurna ajarannya. Islam hanya membenarkan wasiat dilakukan hanya tidak lebih daripada 1/3 sahaja daripada keseluruhan harta si-mati, maka ini sekalugus dapat menyelamatkan waris-waris daripada langsung tidak mendapat apa-apa harta peninggalan ibu-bapa mereka.
Cerita ini mungkin cerita sahaja, tetapi ia mungkin berlaku di kalangan orang Melayu kita. Semasa hidup semua ahli keluarga nampak cantik, nampak jujur dan nampak boleh dipercayai. Tetapi apabila berlaku kematian, barulah keluar belang masing-masing. Semua waris akan rakus, tamak dan berebut-rebut kepada harta si mati. Masa itu, adek angkat pun dah lupa dan dunia akhirat pun lupa. Memang malang nasib anak angkat ini.
Jadi semasa hidup ini, ibu-bapa angkat hendaklah membahagikan harta kepada anak angkat mereka, janganlah tunggu mati. Anak angkat pun begitu juga, pandai-pandailah berusaha agar ibu-bapa angkat mereka membuat wasiat bagi hak harta anak angkat itu. Kena pro-aktif sikit sebab zaman sudah berubah, bukan lagi zaman dahulu–‘tak apalah’, ‘tak kesahlah fasal harta’, ‘seganlah’ dan macam-macam fikiran lapuk.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...