Category Archives: Syariah

HUKUM HUDUD PENGHAPUS DOSA

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Jenayah hudud adalah pelanggaran hak Allah yang dikenali juga sebagai hak awam atau masyarakat dan dalam masa yang sama merupakan satu dosa besar pada pandangan Islam.  Secara umumnya, hukuman hudud tidak boleh digugurkan jika telah sabit dengan bukti di hadapan mahkamah.

Terdapat enam jenayah yang wajib dijatuhkan kepada para pelakunya dengan hukuman hudud menurut kata sepakat di kalangan semua cendekiawan Islam yang muktabar iaitu:

 

  1. as-Sirqah: Kesalahan Mencuri
  2. al-Hirabah: Kesalahan Merompak Secara Bersenjata / Mengugut Dengan Menggunakan Senjata
  3. az-Zina: Kesalahan Melakukan Persetubuhan Haram
  4. al-Qazaf: Kesalahan Menuduh Orang Lain Melakukan zina Tanpa Bukti Yang Kukuh
  5. asy-Syurb: Kesalahan Meminum Minuman Yang Memabukkan
  6. ar-Riddah: Kesalahan Kerana Melakukan Kesalahan Murtad

Jenis-jenis kesalahan hudud dan hukumannya adalah tetap tidak boleh dipinda kerana ia bersifat mandatori.  Pendakwaan kes-kes hudud dibuat oleh pihak pendakwa awam yang mewakili pihak berkuasa dan juga masyarakat keseluruhannya.  Oleh sebab yang demikian ia menepati konsep jenayah sebagaimana yang difahami dalam konteks perundangan konvensional kerana ia adalah pelanggaran terhadap sesuatu hak awam atau masyarakat.  Fungsi hukuman hudud adalah bersifat menghukum dan juga bagi tujuan pencegahan dan kerana itu salah satu rukun yang perlu ada ialah kesalahan itu hendaklah telah dilakukan dengan niat dan dengan cara sengaja.

Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam pada asasnya merupakan sebahagian daripada ketaatan umat Islam kepada perintah Allah s.w.t. dan kerana itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal akidah dan keimanan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan Maha Adil. Ini kerana peraturan jenayah seperti mana yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan juga sunah Nabi adalah sebahagian daripada agama Islam itu sendiri.

Dari segi yang lain pula, Di antara hikmah (kelebihan) di sebalik perlaksanaan undang-undang Islam ialah sebagai “kaffarah” kepada pelakunya. “Kaffarah” ertinya “Penghapus/Pensuci/Pembersih”. Hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah yang terbukti bersalah, sebenarnya satu proses penyuciannya daripada dosa yang dilakukan.

Mengapakah undang-undang Allah Ta’ala dinamakan sebagai “kaffarah”? Kerana ia bukan sahaja sekadar hukuman penyiksaan, tetapi ia juga adalah penghapus dosa yang dilakukan oleh si pelakunya dan sekaligus bertindak menyelamatkannya daripada di azab oleh Allah Ta’ala kelak di dalam neraka kerana dosanya itu.

Dalil yang menunjukkan bahawa hukuman daripada Allah Ta’ala itu bertindak sebagai kaffarah ialah sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang tersebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina ‘Ubadah Bin as-Somit r.a berkenaan dengan isi-isi Bai’ah (perjanjian) al-‘Aqabah di antara Baginda s.a.w dengan Para Nuqaba’ (Ketua-Ketua Usrah) daripada kalangan para sahabat r.a. yang bermaksud: “Aku pernah berjanji setia dengan Baginda Rasulullah s.a.w di dalam satu kumpulan kecil, lalu Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memohon janji-setia kamu agar kamu semua tidak menyekutui Allah dengan apa sekalipun, janganlah juga kamu mencuri, jangalah juga kamu membunuh anak-anak kamu, jangan membawa sebarang berita palsu (fitnah) daripada hadapan tangan-tangan dan kaki-kaki kamu, janganlah juga kamu semua menentang aku di dalam urusan yang baik, dan sesiapa sahaja yang memenuhi janji-setia ini, maka ganjarannya adalah di sisi Allah, dan sesiapa pula yang melakukan dosa-dosa itu, lalu dia dihukum di dunia ini,  maka hukuman itu adalah kaffarah (penghapus) baginya dan juga pembersih. Dan sesiapa pula yang dilindungi rahsianya oleh Allah (tidak dihukum kerana melakukan kesalahan-kesalahan itu), maka hukumannya itu nanti diserahkan kepada Allah kelak (di hari akhirat), kalau Allah mengkehendaki, Allah boleh sahaja mengazab pesalah itu ataupun mengampunkannya” [Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , al-Imam Muslim rh , al-Imam at-Tirmidzie rh , al-Imam Ahmad rh dan al-Imam ad-Darimi rh].

Itulah kelebihan undang-undang Islam yang datangnya daripada Allah Ta’ala. Ini membezakan kedudukan hukuman Islam dengan hukuman biasa atau sivil di mana tidak seperti pesalah yang menerima hukuman di bawah undang-undang syariah yang akan dikira bersih dari dosa, pesalah di bawah undang-undang biasa tidak akan menikmati kedudukan yang sama. Ini kerana di bawah perundangan biasa, undang-undang dan hukuman tiada kaitan dengan konsep dosa dan pahala serta perhitungan hisab di hari akhirat.

Lantaran menyedari hakikat inilah kita dapati pada zaman Nabi ada orang yang telah melakukan dosa dan jenayah dengan rela hati datang menemui Nabi meminta dibersihkan daripada dosa dan memohon dijatuhkan hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan oleh Allah. Keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam sistem perundangan biasa, bahkan pelaku jenayah akan sentiasa berusaha untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan walaupun memang sebenarnya dia telah melakukan jenayah berkenaan.

Undang-undang hudud diperuntukan bagi menggerunkan masyarakat yang bercadang untuk melakukan jenayah berat. Undang-undang ini mempunyai syarat-syarat yang amat banyak sebelum ia boleh dikenakan ke atas seseorang tertuduh. Kadangkala kelihatan mungkin agak mustahil untuk mensabitkan seseorang tertuduh melainkan dengan pengakuan bersalah yang dibuatnya. Ini jelas bagi sesetengah kes seperti zina yang memerlukan empat orang saksi yang jelas melihat perbuatan itu dilakukan. Manakala bagi kes-kes yang lain pula sebarang keraguan yang wujud atau berjaya ditimbulkan akan dengan mudah dapat menyebabkan hukuman hudud itu tidak kenakan. Bahkan seseorang hakim yang membicarakan kes-kes sedemikian dinasihatkan agar sentiasa bersikap terbuka dalam menerima keraguan yang ditimbulkan. Ini adalah kerana secara prinsipnya Islam melihat adalah lebih baik tersilap tidak menghukum daripada tersilap menghukum seseorang di dalam kes-kes hudud.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

QAZAF

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Pada zaman Imam Malik, terdapat seorang wanita yang buruk akhlaknya. Dia selalu tidur bersama lelaki dan tidak pernah menolak ajakan lelaki (pelacur). Tiba pada hari kematiannya, ketika mayatnya dimandikan oleh seorang wanita yang kerjanya memandikan mayat, tiba-tiba tangan si pemandi mayat itu terlekat pada batang tubuh jenazah wanita itu.

Semua penduduk dan ulama’ gempar akan hal itu.Mana tidaknya, tangan si pemandi mayat terlekat sehingga semua orang di situ mati akal untuk melepaskan tangannya dari mayat wanita terbabit.

Terdapat berbagai cadangan dan pandangan untuk menyelesaikan masalah itu. Akhirnya ada 2 pandangan yang dirasakan sesuai tetapi berat untuk dijalankan.
Pertama, memotong tangan wanita pemandi mayat dan yang kedua pula tanam/kebumikan kedua-duanya iaitu pemandi mayat dan jenazah itu sekali gus.
Oleh kerana kedua-dua cadangan tersebut masih lagi kurang sesuai, salah seorang dari mereka mereka memutuskan untuk meminta pendapat daripada Imam Malik.
Imam Malik bukan calang-calang orang yang memberi fatwa. Apabila Imam Malik sampai dan melihat apa yang berlaku, Imam Malik bertanya kepada wanita pemandi mayat itu :

“Apakah kamu lakukan atau berkata apa-apa kepada si mati semasa memandikannya”?

Perempuan memandikan mayat tersebut bersungguh-sungguh menjawab bahawa dirinya tidak berbuat atau tidak berkata apa-apa pun ketika menguruskan jenazah.
Selepas diasak dengan berbagai pertanyaan dan takut tangannya akan dipotong atau ditanam sekali dengan mayat, akhirnya wanita pemandi mayat itu berkata bahawa dia ada berkata :

“Berapa kalilah tubuh ini telah melakukan zina sambil menampar-menampar dan memukul-mukul berkali pada batang tubuh si mati”.

Imam Malik berkata : “Kamu telah menjatuhkan Qazaf (tuduhan zina) pada wanita tersebut sedangkan kamu tidak mendatangkan 4 orang saksi. Dalam situasi begini, di mana kamu nak cari saksi? Maka kamu harus dijatuhkan hukuman hudud 80 kali sebatan kerana membuat pertuduhan zina tanpa mendatangkan 4 saksi.”

Semasa wanita pemandi mayat itu dikenakan hukuman, bila tiba sebatan yang ke 80, maka dengan kuasa Allah SWT, terlepaslah tangannya dari mayat tersebut.

PENGAJARAN :

Jaga lidah jangan sebarkan fitnah. Jangan bersangka buruk dengan kuasa Allah Taala. Kalau kita tahu dia itu seorang pelacur sekalipun, tapi kalau kita tak pernah lihat perbuatan maka kita dilarang menuduhnya berzina. Diharap kisah Imam Malik dan Pemandi Mayat ini dijadikan sebagai tauladan dan ikhtibar. Kerana itu ingatlah, apabila kita membantu menyebar sesuatu perkara buruk dalam masyarakat,negeri atau negara, yang mana kita tidak menyaksi dan tiada saksi, maka tunggulah suatu hari, kita akan menerima balasannya, walaupun peristiwa berlaku. Berhati-hatilah semua dan jangan terjerat dengan jarum-jarum kejahatan.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Daging Korban Menjadi Upah Penyembelih

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Para fuqaha bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan korban itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid: “Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging korban” (1/703, Beirut: Dar al-Khair).

Di samping itu, syarak juga menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim.

Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya: “Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim).

Al-Imam as-Son `ani dalam Subulus as-Salam menjelaskan: “Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah)

Al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging korban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`, katanya: “Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih ..”(8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar: “Tidak boleh dijadikan bahagian dari korban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban sunat. (m.s 149. Beirut: Dar So`ab)

Kata al-Syeikh Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam: “Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan korban memberi walaupun sedikit bahagian korban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah. (m.s. 143. Ctk.: Jordan: Maktabah al-Manar)

Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim, ditambah dengan ucapan Saidina Ali yang menyebut: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian korban.

Sekiranya diteruskan amalan mengambil mana-mana bahagian dari binatang korban yang disembelih sebagai upah bererti kita telah merosak pahala korban.

Kata Mustafa al-Khin dan Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh korban di dalam mazhab al-Syafi`i: “Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan korban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikorbankan dan merosakkannya”. (juz 1 m.s.235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Ini seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.

Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian korban). (5/221. Beirut: Dar al-Jil)

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Panduan bagi yang ingin berpoligami dan/atau nikah di Thailand

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Panduan untuk anda yang ingin berpoligami sangat mudah, mula2 pergi ke Mahkamah Syariah, kemudian failkan permohonan Poligami. Seeloknya slow talk ngan isteri dulu, bagitau dia anda nak tambah isteri sorang lagi (atau lebih). Mudah bukan?

Apa kata jika anda tak cukup berani nak bagitau isteri, dan tak mahu isteri pertama tahu? Ya, saya akan bagi nasihat juga berkenaan nikah di ‘Luar Negara’ seperti Thailand. Jika anda ada niat sebegitu, anda wajar mempertimbangkan perkara2 di bawah ini:-

Kelebihan nikah di Thailand

1. Boleh nikah satu lagi (atau lebih) tanpa perlu pengetahuan dan/atau kebenaran isteri; dan
2. Tak perlu melalui proses birokrasi undang-undang di Malaysia.

Kelemahan nikah di Thailand

1. Kena marah ngan isteri pertama;
2. Kena melalui banyak proses pendaftaran pernikahan semula di Malaysia;
3. Sekiranya gagal daftar dalam masa tertentu, kena denda;
4. Sekiranya gagal bayar denda, berisiko dipenjara di Mahkamah Syariah;
5. Kena marah ngan Hakim syarie masa buat pengesahan Nikah di Mahkamah Syariah;
6. Kalau langsung tak daftar (buat bodoh je), masalah berkaitan sijil kelahiran anak dengan isteri baru pula akan muncul;
7. Isteri pertama selalu berleter mintak cerai;
8. Isteri pertama mengadu pada Mahkamah Syariah suami tidak adil;
9. Lebih 90% kes, masyarakat sekeliling akan memandang serong kepada suami yang nikah satu lagi di Thailand, walaupun dia adalah selebriti (popular) yang terkenal dengan sifat warak dan tawaduknya;
10. Lebih 50% kes, stress dan masalah kewangan suami bakal increase;
11. Dalam 30% kes, kehidupan isteri baru akan terabai;
12. Last sekali, suami mungkin terpaksa cerai salah sorang isteri;
13. Lepas cerai, terpaksa naik turun Mahkamah Syariah lagi;
14. Dan banyak lagi dan lagi.

P/S: Saya sekadar bagi nasihat. Walau apapun, siapa jodoh anda, berapa isteri anda, itu semua adalah qada’ dan qadar Allah swt. Sama-sama kita berdoa supaya Allah swt memberi kemudahan kepada hidup kita dan menjauhkan diri kita dari bebanan yang tidak tertanggung.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...