Author Archives: Zakhran

QAZAF

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Pada zaman Imam Malik, terdapat seorang wanita yang buruk akhlaknya. Dia selalu tidur bersama lelaki dan tidak pernah menolak ajakan lelaki (pelacur). Tiba pada hari kematiannya, ketika mayatnya dimandikan oleh seorang wanita yang kerjanya memandikan mayat, tiba-tiba tangan si pemandi mayat itu terlekat pada batang tubuh jenazah wanita itu.

Semua penduduk dan ulama’ gempar akan hal itu.Mana tidaknya, tangan si pemandi mayat terlekat sehingga semua orang di situ mati akal untuk melepaskan tangannya dari mayat wanita terbabit.

Terdapat berbagai cadangan dan pandangan untuk menyelesaikan masalah itu. Akhirnya ada 2 pandangan yang dirasakan sesuai tetapi berat untuk dijalankan.
Pertama, memotong tangan wanita pemandi mayat dan yang kedua pula tanam/kebumikan kedua-duanya iaitu pemandi mayat dan jenazah itu sekali gus.
Oleh kerana kedua-dua cadangan tersebut masih lagi kurang sesuai, salah seorang dari mereka mereka memutuskan untuk meminta pendapat daripada Imam Malik.
Imam Malik bukan calang-calang orang yang memberi fatwa. Apabila Imam Malik sampai dan melihat apa yang berlaku, Imam Malik bertanya kepada wanita pemandi mayat itu :

“Apakah kamu lakukan atau berkata apa-apa kepada si mati semasa memandikannya”?

Perempuan memandikan mayat tersebut bersungguh-sungguh menjawab bahawa dirinya tidak berbuat atau tidak berkata apa-apa pun ketika menguruskan jenazah.
Selepas diasak dengan berbagai pertanyaan dan takut tangannya akan dipotong atau ditanam sekali dengan mayat, akhirnya wanita pemandi mayat itu berkata bahawa dia ada berkata :

“Berapa kalilah tubuh ini telah melakukan zina sambil menampar-menampar dan memukul-mukul berkali pada batang tubuh si mati”.

Imam Malik berkata : “Kamu telah menjatuhkan Qazaf (tuduhan zina) pada wanita tersebut sedangkan kamu tidak mendatangkan 4 orang saksi. Dalam situasi begini, di mana kamu nak cari saksi? Maka kamu harus dijatuhkan hukuman hudud 80 kali sebatan kerana membuat pertuduhan zina tanpa mendatangkan 4 saksi.”

Semasa wanita pemandi mayat itu dikenakan hukuman, bila tiba sebatan yang ke 80, maka dengan kuasa Allah SWT, terlepaslah tangannya dari mayat tersebut.

PENGAJARAN :

Jaga lidah jangan sebarkan fitnah. Jangan bersangka buruk dengan kuasa Allah Taala. Kalau kita tahu dia itu seorang pelacur sekalipun, tapi kalau kita tak pernah lihat perbuatan maka kita dilarang menuduhnya berzina. Diharap kisah Imam Malik dan Pemandi Mayat ini dijadikan sebagai tauladan dan ikhtibar. Kerana itu ingatlah, apabila kita membantu menyebar sesuatu perkara buruk dalam masyarakat,negeri atau negara, yang mana kita tidak menyaksi dan tiada saksi, maka tunggulah suatu hari, kita akan menerima balasannya, walaupun peristiwa berlaku. Berhati-hatilah semua dan jangan terjerat dengan jarum-jarum kejahatan.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Mengapa Perlu Wasiat?

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Dalam hidup anda, ada atau tidak seseorang yang anda sayangi, atau yang telah banyak berjasa kepada anda, tetapi dia bukan waris anda yang layak menerima harta pusaka anda? Contohnya anak angkat. Bagi sesetengah orang, anak angkat lebih disayangi berbanding anak sendiri kerana jasa, pandai menjaga hati, mengambil berat akan ibu-bapa, patuh kepada nasihat dan macam-macam lagi. Bagi yang mereka tidak mempunyai anak kandung, sudah tentulah sayang kepada anak angkat tidak ternilai. Sekiranya anda benar-benar sayang kepada anak angkat / mana-mana orang tersebut, maka sewajarnyalah anda memikirkan masa depan mereka sekiranya anda sudah tiada lagi di dunia ini. Kenapa saya katakan sedemikian? Kerana apabila ibu atau bapa meninggal dunia, pada prinsipnya anak angkat tidak akan mendapat satu sen pun harta ibu-bapa angkat mereka. Ini kerana dalam Islam, anak angkat bukan waris. Harta-harta akan akan menjadi hak waris-waris, terutama yang rapat iaitu anak kandung, isteri atau suami dan ibu-bapa si arwah itu.

Jadi walaupun anak angkat telah berjasa sebesar gunung dengan ibu-bapa angkat, tidak mendapat satu sen harta ibu-bapa mereka. Sebaliknya, waris-waris yang mempunyai pertalian darah seperti anak kandung dan ibu-bapa arwah akan mendapat rahmat daripada peninggalan arwah itu. Lebih malang, jika waris terdekat tidak ada, maka adik-beradik arwah akan mendapat harta si arwah. Sungguh malang nasib si anak angkat ini.
Sekiranya ada belas ehsan daripada waris-waris untuk memberi secebis harta kepada anak angkat ini, tidak mengapalah. Namun sudah menjadi lumrah makhluk bergelar manusia akan mudah lupa daratan, lupa ibu, lupa adik angkat. Biasanya anak angkat akan berputih mata walaupun dia yang menjaga makan minum dan sakit pening ibu-bapa angkat semasa mereka hidup.

 

Oleh hal yang demikian, sekiranya anda benar-benar sayang kepada anak angkat tersebut, bertindaklah segera dengan melakukan samada 2 cara seperti di bawah:-

  • anda membahagikan sebahagian harta anda kepada anak angkat tersebut; atau
  • anda meninggalkan wasiat bahagian harta yang hendak dibahagikan kepada anak angkat tersebut.

 

Wasiat sangat berkesan kepada bukan waris dan dalam kontek cerita ini adalah anak angkat. Wasiat mengikut pembahagian harta si-mati harus diselesaikan sebelum membahagi harta si mati kepada waris-waris yang berhak, samada secara faraid atau muafakat. Ini bermakna sekiranya si-mati ada meninggalkan wasiat supaya membahagikan harta kepada anak angkat, maka wajiblah waris simati menunaikannya.

 

Namun begitu, Islam itu sempurna ajarannya. Islam hanya membenarkan wasiat dilakukan hanya tidak lebih daripada 1/3 sahaja daripada keseluruhan harta si-mati, maka ini sekalugus dapat menyelamatkan waris-waris daripada langsung tidak mendapat apa-apa harta peninggalan ibu-bapa mereka.
Cerita ini mungkin cerita sahaja, tetapi ia mungkin berlaku di kalangan orang Melayu kita. Semasa hidup semua ahli keluarga nampak cantik, nampak jujur dan nampak boleh dipercayai. Tetapi apabila berlaku kematian, barulah keluar belang masing-masing. Semua waris akan rakus, tamak dan berebut-rebut kepada harta si mati. Masa itu, adek angkat pun dah lupa dan dunia akhirat pun lupa. Memang malang nasib anak angkat ini.
Jadi semasa hidup ini, ibu-bapa angkat hendaklah membahagikan harta kepada anak angkat mereka, janganlah tunggu mati. Anak angkat pun begitu juga, pandai-pandailah berusaha agar ibu-bapa angkat mereka membuat wasiat bagi hak harta anak angkat itu. Kena pro-aktif sikit sebab zaman sudah berubah, bukan lagi zaman dahulu–‘tak apalah’, ‘tak kesahlah fasal harta’, ‘seganlah’ dan macam-macam fikiran lapuk.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Undang-Undang Malaysia Berkaitan Fitnah (Siri 4)

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Ini mungkin siri akhir yang saya tulis berkenaan undang-undang berkaitan fitnah. Mungkin besok saya akan menghuraikan tentang tajuk baru kepada pembaca, insyaAllah.

Fitnah di kalangan masyarakat Melayu bukan semuanya berlaku secara terang-terangan. Kadang-kadang (mungkin kebanyakan) fitnah berlaku dalam bentuk tersirat dan bersifat kiasan (hidden meaning).  Namun, maksud tersirat itu harus difahami oleh orang biasa bahawa perkataan digunakan itu adalah suatu fitnah. Fitnah sebegini juga dikenali sebagai innuendo.

Keadaan fitnah berbentuk innuendo ini juga berlaku apabila nama seseorang itu tidak disebut dengan jelas, tetapi orang yang mendengarnya atau membacanya tahu bahawa kenyataan itu merujuk kepada orang yang difitnah. Itu sudah memadai untuk merumuskan bahawa kenyataan itu sememangnya merujuk kepadanya.

Dalam kes J’Anson v Stewart (1787) 1 TR 478, mahkamah memutuskan bahawa kenyataan fitnah adalah merujuk kepada pengadu biarpun namanya tidak disebut. Ini kerana terdapat ciri-ciri yang kukuh yang merujuk pada pengadu dalam kenyataan fitnah tersebut.  Mahkamah juga mengatakan yang orang biasa yang membaca kenyataan itu pun pastinya akan merasakan bahawa kenyataan itu merujuk kepada pengadu.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Undang-Undang Malaysia Berkaitan Fitnah (Siri 3)

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Apabila anda merasakan diri anda difitnah, anda perlu menganalisa beberapa persoalan sebelum memulakan tindakan undang-undang. Terdapat  tiga persoalan yang harus dilihat dan ditanya dalam menentukan samada sesuatu tuntutan fitnah boleh dibuat atau tidak. Tiga persoalan itu adalah:-

  1. Adakah Terdapatnya KenyataanFitnah?
  2. Adakah Kenyataan Itu MerujukKepada Orang Yang Menuntut (Claimant)?
  3. Adakah Kenyataan Itu Telah Sampai Ke PengetahuanPihak Ketiga?

 

Untuk sesuatu tuntutan fitnah ini berjaya, pihak yang menuntut harus membuktikan bahawa kenyataan fitnah itu ditujukan kepadanya.  Jika kenyataan fitnah itu tidak merujuk kepada mana-mana orang atau organisasi yang membuat tuntutan, maka tuntutan ini tidak akan berjaya.  Namun, ini tidak bermakna jika kita tidak menamakan individu tertentu  kita akan terlepas dari tanggungan ini. Ini akan diterangkan dalam siri berikutnya iaitu berkenaan suatu istilah yang dipanggil innuendo, insyaAllah.

Untuk sesuatu tuntutan fitnah berjaya ia juga perlu sampai ke pengetahuan pihak ke tiga. Jika ia diutarakan kepada mangsa semata-mata tanpa didengari oleh mana-mana orang lain, maka mangsa tidak dapat membuat tuntutan di mahkamah.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Undang-Undang Malaysia Berkaitan Fitnah (Siri 2)

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Menurut undang-undang Malaysia, fitnah (defamation) berada di bawah kategori undang-undang tort. Secara amnya, fitnah (defamation)  terbahagi kepada dua:-

  • libel
  • slander

Libel adalah fitnah berbentuk kekal dan boleh dibuktikan secara dokumentasi di mahkamah. Contohnya fitnah yang dibuat atau ditulis di buku, akhbar, blog, facebook, tweeter dan seumpamanya. Malah fitnah berbentuk libel juga boleh berlaku melalui gambar atau video yang diletakkan di dalam medium yang disebutkan tadi, dan kini diluaskan lagi melalui banyak lagi medium sosial seperti instagram, whatsapp dan sebagainya.

Sementara slander pula adalah fitnah yang tidak boleh didokumentasi di mahkamah kerana ianya tidak kekal. Contoh yang paling jelas adalah percakapan mulut yang tidak dirakam oleh audio atau video. Sekiranya percakapan tersebut dirakam, maka ianya menjadi libel kerana ia sudah boleh didokumentasikan.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Undang-Undang Malaysia Berkaitan Fitnah (Siri 1)

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Konsep undang-undang fitnah (law of defamation) adalah apabila kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak telah menepati dua (2) elemen penting dan wajib iaitu:

1)    ia merupakan kenyataan yang tidak benar tentang orang yang dikata; dan

2)    kenyataan yang sama menyebabkan nama baik orang yang dikata itu tercemar atau reputasi orang yang dikata itu terjejas.

Elemen kedua adalah elemen yang jarang ditepati oleh kebanyakan mangsa fitnah, apabila mereka gagal untuk membezakan samada kenyataan tersebut ‘mencemarkan reputasi’ mereka atau mereka sekadar ‘rasa sakit hati’ dengan kenyataan tersebut.

Sebagai contoh yang mudah, apabila seseorang mengeluarkan kenyataan “Si A itu khinzir”, maka kenyataan tersebut telah menepati elemen (1) kerana ianya adalah suatu kenyataan yang tidak benar (kerana si A adalah manusia dan bukan khinzir).

Walaubagaimanapun, tidak semestinya kenyataan tersebut menepati elemen (2) kerana mungkin  si A hanya rasa sakit hati dengan kenyataan tersebut, tetapi kenyataan tersebut tidak merosakkan reputasinya malah tidak langsung mencemarkan nama baiknya.

Terjejasnya reputasi pula hendaklah dibuktikan. Contohnya apabila fitnah dilemparkan terhadap seorang imam masjid, maka bukti terjejasnya reputasi beliau apabila berkurangnya jemaah masjid beliau. Contoh lain apabila fitnah dilemparkan terhadap seorang peniaga, maka bukti terjejas reputasi beliau apabila pelanggan beliau semakin berkurang.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Satu Muharram Detik Permulaan, Perkiraan Tahun Islam Hijrah..

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.

Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.

Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji.

Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.

Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.

Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.

Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Daging Korban Menjadi Upah Penyembelih

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Para fuqaha bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan korban itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid: “Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging korban” (1/703, Beirut: Dar al-Khair).

Di samping itu, syarak juga menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim.

Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya: “Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim).

Al-Imam as-Son `ani dalam Subulus as-Salam menjelaskan: “Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah)

Al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging korban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`, katanya: “Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih ..”(8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar: “Tidak boleh dijadikan bahagian dari korban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban sunat. (m.s 149. Beirut: Dar So`ab)

Kata al-Syeikh Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam: “Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan korban memberi walaupun sedikit bahagian korban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah. (m.s. 143. Ctk.: Jordan: Maktabah al-Manar)

Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim, ditambah dengan ucapan Saidina Ali yang menyebut: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian korban.

Sekiranya diteruskan amalan mengambil mana-mana bahagian dari binatang korban yang disembelih sebagai upah bererti kita telah merosak pahala korban.

Kata Mustafa al-Khin dan Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh korban di dalam mazhab al-Syafi`i: “Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan korban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikorbankan dan merosakkannya”. (juz 1 m.s.235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Ini seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.

Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian korban). (5/221. Beirut: Dar al-Jil)

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Panduan bagi yang ingin berpoligami dan/atau nikah di Thailand

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Panduan untuk anda yang ingin berpoligami sangat mudah, mula2 pergi ke Mahkamah Syariah, kemudian failkan permohonan Poligami. Seeloknya slow talk ngan isteri dulu, bagitau dia anda nak tambah isteri sorang lagi (atau lebih). Mudah bukan?

Apa kata jika anda tak cukup berani nak bagitau isteri, dan tak mahu isteri pertama tahu? Ya, saya akan bagi nasihat juga berkenaan nikah di ‘Luar Negara’ seperti Thailand. Jika anda ada niat sebegitu, anda wajar mempertimbangkan perkara2 di bawah ini:-

Kelebihan nikah di Thailand

1. Boleh nikah satu lagi (atau lebih) tanpa perlu pengetahuan dan/atau kebenaran isteri; dan
2. Tak perlu melalui proses birokrasi undang-undang di Malaysia.

Kelemahan nikah di Thailand

1. Kena marah ngan isteri pertama;
2. Kena melalui banyak proses pendaftaran pernikahan semula di Malaysia;
3. Sekiranya gagal daftar dalam masa tertentu, kena denda;
4. Sekiranya gagal bayar denda, berisiko dipenjara di Mahkamah Syariah;
5. Kena marah ngan Hakim syarie masa buat pengesahan Nikah di Mahkamah Syariah;
6. Kalau langsung tak daftar (buat bodoh je), masalah berkaitan sijil kelahiran anak dengan isteri baru pula akan muncul;
7. Isteri pertama selalu berleter mintak cerai;
8. Isteri pertama mengadu pada Mahkamah Syariah suami tidak adil;
9. Lebih 90% kes, masyarakat sekeliling akan memandang serong kepada suami yang nikah satu lagi di Thailand, walaupun dia adalah selebriti (popular) yang terkenal dengan sifat warak dan tawaduknya;
10. Lebih 50% kes, stress dan masalah kewangan suami bakal increase;
11. Dalam 30% kes, kehidupan isteri baru akan terabai;
12. Last sekali, suami mungkin terpaksa cerai salah sorang isteri;
13. Lepas cerai, terpaksa naik turun Mahkamah Syariah lagi;
14. Dan banyak lagi dan lagi.

P/S: Saya sekadar bagi nasihat. Walau apapun, siapa jodoh anda, berapa isteri anda, itu semua adalah qada’ dan qadar Allah swt. Sama-sama kita berdoa supaya Allah swt memberi kemudahan kepada hidup kita dan menjauhkan diri kita dari bebanan yang tidak tertanggung.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Main Mercun – Ibubapa yang SALAH

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Tragedi malang akibat mercun sentiasa ada setiap kali hari raya Aidilfitri. Hakikatnya, bermain mercun bukan budaya Islam, tetapi budaya Cina. Peliknya, ketika Tahun Baru Cina tidak pula ada laporan mengenai kecelakaan akibat mercun.

Kemeriahan Aidilfitri sepatutnya disambut dengan meningkatkan ibadat. Ajaran Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya dan merugikan. Bermain mercun menunjukkan orang Islam sendiri yang melakukan perkara yang dilarang oleh Islam.

Mercun dan bunga api diharamkan di negara kita. Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan bermain mercun pula, hukuman penjara tidak lebih sebulan dan denda sehingga RM100 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Namun, undang-undang itu dipandang ringan oleh kebanyakan orang. Penjualan mercun masih berleluasa disebabkan permintaan daripada orang ramai. Dalam hal ini, ibu bapa sepatutnya mengawasi anak agar tidak bermain mercun. Ibu bapa sepatutnya berperanan mendidik anak-anak dan bukannya membeli mercun untuk anak-anak. Ibu bapa tidak boleh berkompromi dengan isu mercun. Biarlah anak merengek dan merayu, tetapi jangan sekali-kali membenarkan mereka bermain mercun. Carilah alternatif lain untuk berhibur menyambut perayaan.

Apa yang memalukan adala apabila ibu bapa sendiri yang turut bermain mercun. Mereka yang lebih-lebih berbanding kanak-kanak. Perbuatan itu tentunya ditiru pula oleh kanak-kanak.

Kebanyakan kes kecelakaan berlaku ketika kanak-kanak bermain secara berkumpulan atau sebagai penonton. Oleh itu, ibu bapa bukan sahaja perlu memastikan anak tidak bermain mercun malah mesti menjauhkan diri daripada sebarang tempat kanak-kanak bermain mercun. Jangan biarkan mereka menjadi ‘penumpang’ kecelakaan akibat perbuatan orang lain.

Kanak-kanak tidak mengerti tentang kecelakaan. Apa yang mereka inginkan ialah kegembiraan dan mencuba pengalaman baru. Di sinilah peranan ibu bapa dan orang dewasa memperjelaskan kepada kanak-kanak mengenai bahaya akibat perbuatan itu.

Dapatkan tips dan info guaman percuma, LIKE FB page kami PEGUAM MACHANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...